Liga Premier Malaysia Berita

Selepas menerima tekanan hebat, Perak bakal dapat pemilik baharu lagi

Perak sekali lagi berada dalam proses pengambilalihan pemilikan baharu, tidak sampai lima bulan selepas diambilalih oleh Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd.

Ini setelah Perak sekali lagi berdepan dengan krisis kewangan apabila didapati gagal melunaskan hutang keseluruhan RM1.7 juta sehingga tidak dapat mendaftar pemain baharu dan pemain sedia ada berdepan masalah tunggakan gaji.

“Perak FC berada di ambang penjualan yang mungkin menyaksikan kelab bertukar tangan dalam minggu akan datang,” menurut kenyataan rasmi kelab itu.

“Pengerusi Eksekutif Perak, Khairul Nizam Mahmood sudah memberitahu bahawa beliau merancang menjual kelab itu selepas menerima tekanan hebat daripada pemain mahupun peminat.

“Berdasarkan perbincangan dan penilaian awal daripada bakal pemilik baharu, IMC dijangka bersetuju dengan nilai yang ditawarkan.”

Bagaimanapun, katanya, prosedur selanjutnya bergantung kepada MFL yang akan dimaklumkan mengenai tawaran itu.

Selesai sahaja pengambilalihan itu, IMC akan melepaskan semua tugas eksekutifnya yang banyak tertumpu kepada usaha mendapatkan dana serta mengenalpasti pelabur, disebabkan krisis yang melanda Perak.

Pada Disember 2021, IMC memperoleh 100 peratus pegangan dalam Perak FC Sdn Bhd, sekali gus pasukan Perak tidak lagi berada di bawah pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Perak berdepan krisis kewangan sepanjang tahun lalu, menyebabkan beberapa pemain utama berhijrah di tengah-tengah musim, sehingga Perak akhirnya tersingkir ke Liga Premier, selepas 17 tahun bersaing dalam Liga Super.