Malaysia Berita

Kelayakan Piala Asia 2023: Harimau Malaya bertemu Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh

Skuad kebangsaan Malaysia akan berdepan tentangan daripada Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh apabila sama-sama diundi dalam Kumpulan E bagi menghadapi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023, Jun ini.

Dalam jadual yang dikeluarkan oleh FAM, Malaysia akan memulakan perlawanan pembukaan menentang Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh pada 14 Jun.

Mengikut ranking FIFA terkini, Malaysia menduduki tangga 154 dunia, Bahrain (89), Turkmenistan (134) dan Bangladesh (186).

FAM turut mengesahkan bahawa ketiga-tiga perlawanan tersebut akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Juara setiap kumpulan akan layak ke Piala Asia, namun hanya lima daripada enam kumpulan naib juara akan dipilih layak, berdasarkan mata tertinggi yang diraih sepanjang pusingan kelayakan.

Setakat ini, 13 negara telah layak untuk bersaing di Piala Asia 2023 iaitu China selaku tuan rumah, Jepun, Korea Selatan, Australia, Iran, Arab Saudi, Qatar, UAE, Iraq, Oman, Lebanon, Syria dan Vietnam.

Hanya Vietnam satu-satunya negara Asia Tenggara yang telah layak bertanding di Piala Asia 2023.