Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan lantik penolong ketua jurulatih dari Indonesia, Yusup Prasetiyo

Kelantan membuat kejutan apabila melantik Muhamad Yusup Presetiyo sebagai penolong ketua jurulatih kepada Rezal Zambery Yahya bagi menghadapi saingan Liga Premier musim 2022.

Jurulatih yang berusia 32 tahun itu sebelum ini merupakan penolong ketua jurulatih PSPS Riau FC, pasukan Indonesia yang turut dimiliki pemilik Kelantan, Norizam Tukiman.

“Lantikan ini dibuat hasil rundingan yang dicapai antara pihak pengurusan dengan Yusuf,” menurut media sosial rasmi Kelantan.

“Beliau bersetuju menandatangani kontrak bersama pasukan TRW Kelantan FC.”

Yusup akan ditugaskan untuk membantu Rezal dalam merangka strategi serta menilai kelemahan dan kekuatan setiap pemain.

Malah, Yusup juga bertanggungjawab sebagai ketua pembangunan kelab dalam memilih pemain muda yang berbakat selain membantu mencadangkan pemain untuk dinaikkan ke skuad senior musim hadapan.

“Diharapkan kehadiran Yusup dapat membantu Rezal mempersiapkan skuad yang terbaik untuk bersaing dalam saingan Liga Malaysia 2022.”

Yusup memulakan kariernya sebagai jurulatih di Asian Soccer Academy pada 2010 sebelum menyertai akademi bolasepak, SSI Arsenal pada 2011.

Beliau mula meraih lesen kejurulatihan D AFC di Indonesia pada 2012, sebelum beliau meraih lesen C di Brunei (2014), lesen B di Malaysia (2016) dan lesen A AFC di Maldives pada (2018).

Selepas SSI Arsenal, beliau dilantik sebagai pembantu jurulatih Celebest FC di Liga 2 Indonesia pada 2016, ketua jurulatih kelab Liga Super China, Lijiang FC B16 (2017), pembantu jurulatih PSMS Medan (2018), pembantu jurulatih PSIM Jogja (2019), pembantu jurulatih Barito Putera (2020) dan penolong ketua jurulatih PSPS Riau FC

Beliau juga memiliki pengalaman menganalisis taktikal di akademi Borusia Monchengladbach (2017), akademi VVV Venlo (2017), akademi Liverpool (2018), akademi Ajax Amsterdam (2018), akademi Feyenoord (2018), akademi Valencia (2018) dan akademi Benfica (2019).