Liga Super Malaysia Berita

FIFA: Liga Malaysia tidak cukup perlawanan, liga perlu buat tiga pusingan

FIFA tampil mencadangkan supaya saingan Liga Malaysia dijalankan secara tiga pusingan dengan setiap pasukan bertemu antara satu sama lain sebanyak tiga kali berbanding dua perlawanan sahaja.

Ini setelah tinjauan yang dibuat oleh FIFA yang dikongsikan bersama FAM dalam mesyuarat secara maya dua minggu lepas mendapati pemain bola sepak di Malaysia kekurangan perlawanan kompetitif di peringkat domestik.

Oleh itu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, FIFA mengesyorkan saingan Liga Super dan Liga Premier dipanjangkan bagi menyediakan jumlah perlawanan yang ideal kepada pemain.

“Format sedia ada dikekalkan cuma pasukan akan main sekali lagi satu pusingan,” katanya kepada Bernama.

“Sebagai contoh Kelantan dah bermain dua perlawanan dengan Selangor, akhir sekali mereka akan bertemu semula dan kita akan tentukan siapa menjadi tuan rumah perlawanan itu.

“Tetapi kita perlu tengok juga sama ada cadangan itu boleh dibuat dalam kita punya kalendar sebab kalendar kita ini lain sikit dari negara lain. Kita juga kena beri ruang kepada pasukan negara untuk buat persiapan.”

Justeru, katanya, cadangan itu akan diperhalusi oleh Ketua Unit Belia FAM, Razip Ismail dan Ketua Unit Pendidikan Kejurulatihan FAM, Lim Kim Chon.

“Mereka akan buat analisis dan akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM.

“Semua cadangan yang diterima kita akan tengok sama ada ia boleh dilaksanakan. Tidak semestinya semua itu kita perlu laksanakan, kita kena tengok juga situasi kita.”

Setakat ini, Liga Super yang terdiri daripada 12 pasukan, beraksi 22 perlawanan setiap musim manakala Liga Premier dengan 11 pasukan, beraksi 20 perlawanan.

Ini tidak termasuk kejohanan kalah mati iaitu Piala FA dan Piala Malaysia dengan sekurang-kurangnya 6 perlawanan bagi peringkat kumpulan.