
Pengerusi Eksekutif Perak FC, Khairul Nizam Mahmood mengesahkan bahawa tunggakan gaji pemain selama empat bulan bernilai lebih RM1 juta akan dilangsaikan minggu ini.
Katanya, pemilik baharu iaitu Impact Media and Communications (IMC) akan membayar tunggakan yang tertangguh dari Ogos sehingga November lalu.
Jelasnya, pembayaran semua tunggakan itu akan dibahagikan kepada dua pembayaran iaitu pada 31 Disember bagi pembayaran pertama manakala pembayaran kedua akan dibuat pada 31 Januari 2022.
“Kami memahami situasi semasa pemain dan menyelesaikan isu ini secepat mungkin adalah keutamaan kami,” katanya kepada Berita Harian.
“Pemain sangat penting bagi kelab.
“Dalam tempoh mencabar ini, kami mahu memastikan kebajikan pemain dijaga supaya mereka boleh memberikan fokus kepada permainan dan menikmati sukan bola sepak yang mereka sayangi tanpa sebarang kegusaran.”
Sebelum ini, Perak FC telah diminta untuk menyelesaikan tunggakan tersebut sebelum 25 Disember, namun disebabkan pasukan masih lagi dalam proses pengambilalihan, pembayaran pertama hanya akan dilakukan pada 31 Disember.
“Walaupun surat aku janji sudah dikeluarkan kepada kesatuan pemain,” jelas Khairul.
“Kemungkinan besar majoriti pemain akan menandatangani perjanjian terbabit secara perseorangan sebaik sahaja bayaran pertama yang dijadualkan pada 31 Disember dibayar.
“Kami juga akan menghubungi pemain import kami yang sudah meninggalkan Malaysia menerusi wakil mereka atau kesatuan pemain dalam minggu yang berikutnya.”
IMC menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bagi pengambilalihan hak milik Perak FC, awal bulan ini.
Perpindahan hak milik itu selesai dilakukan pada Jumaat lalu dan IMC memulakan proses pengambilalihan pengurusan bagi mempersiapkan pasukan Perak yang akan beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan.