Liga Super Malaysia Berita

MB Perak: Kerajaan negeri hanya bantu Perak FC setakat yang mampu

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengakui kerajaan negeri tidak akan meminggirkan Perak FC, meskipun pasukan itu tersingkir ke Liga Premier musim depan.

Bagaimanapun, beliau memberi bayangan bahawa kerajaan negeri tidak akan memperuntukkan dana yang besar untuk pasukan Perak, malah menyerahkan segala perancangan untuk naik kembali ke Liga Super kepada Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

“PAFA yang patut jawab kerana Perak FC adalah 100 peratus kepunyaan PAFA,” katanya kepada Berita Harian.

“Saya sebagai kerajaan negeri membantu setakat yang kita mampu. Seingat saya, sudah RM5 juta pernah kita bantu.

“Jadi, kaedah macam mana hendak melonjak (kembali ke Liga Super) seperti pemilihan pemain, itu kena tanya tuan punya pasukan lah.

“Tetapi kerajaan negeri, kita membantu setakat yang kita mampu.”

Perak berdepan masalah tunggakan gaji sepanjang musim 2021, sehingga beberapa pemain utama meninggalkan pasukan bermula dengan perpindahan kapten pasukan, Shahrul Saad dan Guilherme de Paula ke JDT, Kenny Pallraj dan J Partiban ke KL City, malah Shakir Hamzah, Leandro dan Careca turut meninggalkan pasukan itu.

Setelah penyingkiran ke Liga Premier, pasukan Perak kemungkinan besar akan melepaskan sebahagian besar pemainnya pada musim depan.

Malah, Perak II juga dijangka dibubarkan kerana pengurusan pasukan enggan menampung beban kewangan lebih daripada satu pasukan.

Paling terbaru, kontrak empat pemain import ditamatkan serta-merta iaitu Samir Ahmed Ayass (Lebanon), Mountala Zoubairou Garba Daniel (Cameroon-Indonesia), Ghislain Guessan (Ivory Coast) dan Nana Poku (Ghana).

Disebabkan itu, Perak meneruskan saingan Piala Malaysia 2021 dengan tiga pemain import, Jad Ahmad Noureddine, Charles William Hew Machell dan Sergio Ezequiel Aguero.