Perak akhirnya disahkan tersingkir ke Liga Premier musim depan, apabila tewas 2-1 kepada Melaka United.
Ia merupakan penyingkiran pertama Perak sejak Liga Super Malaysia diperkenalkan pada 2004.
Perak pada awalnya mendahului menerusi jaringan Ezequiel Aguero hasil sepakan penalti pada minit ke-29.
Namun, Melaka menyamakan kedudukan hasil jaringan individu Manuel Ott pada minit ke-66.
67' Gol | What a goal, Manuel Ott! Pemain tengah dari Filipina ini menjaringkan gol buat perlawanan kedua berturut-turut.@MelakaUnitedFC 1-1 @peraktbgmy #LigaSuper2021 pic.twitter.com/5mXHyMEqmX
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 3, 2021
Perak sekali lagi dibolosi hasil sepakan jarak jauh Sony Norde yang melepasi Hafizul Hakim pada minit ke-79.
79' Gol | Rembatan Sony Norde dari luar kotak penalti meletakkan Melaka United di depan!@MelakaUnitedFC 2-1 @peraktbgmy #LigaSuper2021 pic.twitter.com/rwjMYrzUcz
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 3, 2021
Perak juga gagal memanfaatkan 5 minit masa tambahan untuk menyamakan kedudukan sehinggalah tamat perlawanan.
Penyingkiran ini berlaku setahun selepas Perak melengkapkan proses penswastaan kelab.
Namun, sejak awal tahun ini, Perak berdepan dengan masalah kewangan dan kelewatan bayaran gaji.
Ia menyebabkan beberapa pemain utama seperti kapten pasukan, Shahrul Saad, Guilherme de Paula, Kenny Pallraj, J Partiban, Shakir Hamzah, Leandro dan Careca membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan.
Sejak itu, Perak hanya mencatatkan 3 kemenangan, 4 seri dan 14 kekalahan.
Malah, Perak mengharungi 9 perlawanan tanpa kemenangan.
Ia kejatuhan yang amat perit dan mimpi ngeri buat peminat Perak tatkala mereka menyambut ulangtahun penubuhan ke-100 tahun ini.
Perak akan bersaing dalam Liga Premier musim depan, tertakluk kepada kelulusan perlesenan kelab.