Liga Super Malaysia Berita

Berminat jadi pemilik Perak FC? Kena ada sekurang-kurangnya RM10 juta

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad mengakui bahawa pihaknya hanya berminat untuk berunding dengan individu yang mampu membiaya RM10 juta untuk dana pasukan.

Kenyataannya itu mengundang reaksi pelbagai pihak, dengan kebanyakannya menganggap tanda harga itu terlalu tinggi dan tidak sepadan dengan nilai Perak FC yang akan beraksi di Liga Premier musim depan.

“Jika minat mengambil alih Perak FC kalau boleh pihak berkenaan memiliki dana sekurang-kurangnya RM10 juta, berdasarkan kepada nilai pasukan lain,” katanya kepada Harian Metro.

“Kita boleh tengok berapa Norizam Tukiman mengeluarkan dana untuk Kelantan.

“Saya rasa nilai berkenaan adalah berbaloi kerana kita juga memiliki barisan pemain berpengalaman dan hebat.

“Setakat ini, perbincangan bersama beberapa pihak yang berminat untuk memiliki Perak FC adalah positif. Saya katakan sekarang ini proses perbincangan pemilikan dalam peringkat 50 peratus antara kedua-dua pihak.”

Beliau berkata, sekurang-kurangnya tiga pihak sudah menyatakan minat untuk mengambil alih Perak FC.