Malaysia Berita

Sathia: Ambil jurulatih yang benar-benar layak kendalikan skuad Harimau Malaya

B. Sathiananthan menyifatkan FAM wajar melantik seorang jurulatih yang benar-benar layak mengendalikan skuad kebangsaan.

Ini selepas prestasi hambar skuad kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe sepanjang tahun ini, sama ada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala AFF Suzuki 2020.

“Kita kena dapatkan calon betul-betul hebat, betul-betul sesuai dengan kelayakan untuk bawa skuad kebangsaan dan kena sabar,” katanya kepada Bernama.

“Pemilihan (pemain) terpulang kepada jurulatih itu, cara apa dia nak bawa dan cara kendaliannya.

“Saya terima kalau jurulatih asing yang betul-betul layak, tetapi kita kena lihat dari sudut pembayaran gaji.

“Memang kalau permohonan dibuka ramai akan mohon, semua kata dia handal, ada juga yang tak pernah bawa pasukan pun akan mohon asalkan dia dari Brazil, Itali atau Perancis.”

Bagaimanapun Sathia berkata, FAM berdepan cabaran dari segi pembayaran gaji kerana ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo menerima gaji mencecah RM230,000 sebulan, yang separuh daripada jumlah itu ditanggung Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF).

“Apa yang saya dengar USD$55,000 sebulan tanpa cukai tanpa apa-apa.

“Di Vietnam persekutuan bayar setengah, pengurus pasukan atau naib presiden skuad itu bayar setengah. Itu baru gaji beliau belum lagi pembantunya.”

“Di Malaysia ada orang nak tolong FAM tak?.
Siapa yang akan bantu FAM cari dana sebegitu besar untuk mendapatkan seseorang jurulatih?”

Cheng Hoe mempunyai kontrak sehingga penghujung 2022 dan akan ditentukan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan selepas menilai laporan lengkap mengenai prestasi pasukan.