Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe akui sedih Darren Lok terpaksa digugurkan, tiada pengganti akan dipanggil

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengesahkan bahawa penyerang Darren Lok terpaksa digugurkan sekaligus terlepas peluang untuk beraksi di Piala AFF Suzuki 2020.

Ini ekoran kecederaan otot perut yang dialaminya semasa sesi latihan Fasa 1 yang bermula Isnin lalu.

Bagaimanapun, Cheng Hoe tidak bercadang untuk memanggil pengganti, memandangkan beliau memiliki barisan penyerang yang ramai iaitu Guilherme de Paula, Luqman Hakim Shamsudin dan Shahrel Fikri.

“Atas nasihat pasukan perubatan, Darren Lok tidak dapat bersama skuad kebangsaan,” katanya kepada Bernama.

“Ini berita yang sedih sebab selama ini beliau tunjukkan prestasi terbaik.”

Selain itu, pertahanan Terengganu, Arif Fadzilah Abu Bakar hanya akan melaporkan diri di Wisma FAM hari ini.

“Arif Fadzilah meminta cuti sehari atas sebab kurang sihat dan saya memahami situasi tersebut, saya berharap dia dapat melaporkan diri keesokan harinya.”

Setakat ini, 13 daripada 15 pemain telah menjalani latihan Fasa 2, manakala 9 lagi pemain yang terdiri daripada pemain JDT dan Kuala Lumpur City bakal menyertai latihan selepas selesai final Piala Malaysia 2021 yang berlangsung esok.

Cheng Hoe hanya akan menyenaraikan seramai 24 pemain untuk skuad akhir ke Piala Suzuki AFF 2020 yang mana skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Singapura pada Jumaat, 3 Disember ini.