Liga Super Malaysia Berita

Shahrul Nizam kecewa dilabel tidak hormati panggilan Harimau Malaya

Shahrul Nizam Ros Hasni tampil memohon maaf di atas kegagalannya menyertai skuad kebangsaan.

Pemain pertahanan Terengganu berusia 23 tahun itu sepatutnya bersama skuad Harimau Malaya untuk perlawanan persahabatan di Jordan tetapi beliau tidak dapat dihubungi kerana berada di laut selepas pulang ke kampung halamannya di Bachok, Kelantan.

“Pengurusan pasukan memberi cuti selama lima hari selepas perlawanan menentang Selangor,” kata Shahrul Nizam kepada La Bola Malaya.

“Jadi memang saya tiada perancangan lain dan terus balik kampung. Sampai di kampung saya turun ke laut.

“Kami keluarga nelayan. Niat saya nak bantu keluarga, tapi bila sampai ke darat, baru saya dapat tahu tentang perkara ini dan terkejut. la sudah terlewat, pasukan sudah pun terbang ke Jordan.”

Shahrul mengakui insiden tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepadanya, apabila beliau dihujani dengan pelbagai kritikan.

“Tetapi yang membuatkan saya kecewa dan moral saya terjejas teruk, saya dilabel tidak menghormati panggilan kebangsaan, saya dikatakan tidak serius dan macam-macam tohmahan lain.

“Saya minta maaf, jujur cakap semua pemain teringin menyarung jersi kebangsaan. Ia seperti impian menjadi kenyataan. Kalau saya tahu tidak mungkin saya lepaskan peluang ini.

Justeru, beliau berharap insiden itu tidak menjejaskan peluangnya untuk beraksi dengan skuad kebangsaan.

“Saya minta maaf dan saya harapan akan diberi peluang lagi di masa akan datang.”