Liga Super Malaysia Berita

Discovery Channel bakal siar dokumentari JDT, Fearless: Rise of The Southern Tigers esok

Buat pertama kali dalam sejarah, stesen televisyen terkemuka dunia, Discovery Channel akan menyiarkan dokumentari mengenai kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim bertajuk ‘Fearless: Rise of the Southern Tigers’ pada jam 9 malam esok.

Ia selepas JDT menerusi syarikat penerbitan 108 Media telah menandatangani perjanjian dengan Discovery, Inc untuk menyiarkan dokumentari tersebut di rantau Asia Tenggara, Taiwan dan Hong Kong.

Ketua Bahagian Kandungan Asia Pasifik Discovery, Inc, Lynn Ng, berkata, pihaknya berminat untuk menyiarkan dokumentari JDT kerana menganggapnya sebagai kisah yang mengagumkan.

“Discovery sentiasa melihat kepada kisah-kisah tempatan mengagumkan yang bergema di seluruh Asia Pasifik,” kata Lynn.

“Sebagai sukan paling popular Asia Tenggara, kebangkitan JDT adalah satu kisah kejayaan yang diraikan oleh semua, dan kami teruja untuk membawakan siri ini kepada penonton di rantau ini.”

Dalam pada itu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan rasa bangga apabila dapat melihat kisah JDT dikongsikan dan disaksikan oleh sebilangan besar penonton di rantau Asia.

“Saya gembira kini lebih banyak tempat di Asia dapat menonton kisah hebat mengenai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dan bagaimana kami bekerja keras di belakang tabir bagi memastikan kejayaan di dalam dan luar padang.”

Fearless mengisahkan mengenai visi Tunku Ismail untuk Johor dan bola sepaknya, bagaimana telitinya TMJ dalam setiap segi, bagaimana kelab ini berkembang sedikit demi sedikit, perbincangan dalam membuat keputusan untuk kelab, para penyokong Bangsa Johor yang setia dan banyak lagi.

Isteri kepada TMJ, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam turut menceritakan pengalamannya sepanjang melihat TMJ membangunkan JDT.

Siri ini juga memaparkan temubual bersama Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest, Ketua Jurulatih Benjamin Mora, bekas pengurus Luciano Figueroa, jurulatih-jurulatih Akademi JDT, pemain, penyokong dan beberapa individu di JDT. Krew kamera juga mengikuti beberapa pemain dan ketua jurulatih ke kediaman masing-masing.

Tayangan perdana ‘Fearless: Rise of The Southern Tigers’ akan disiarkan pada 11 September jam 9 malam (waktu Malaysia) di saluran Discovery Asia di rantau Asia Tenggara, Taiwan dan Hong Kong.