Liga Premier Malaysia Berita

FAM gantung 4 pegawai perlawanan Kelantan-Negeri Sembilan

Jawatankuasa Pengadil FAM membuat keputusan untuk menggantung keempat-empat pengadil yang bertugas dalam perlawanan Liga Premier antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada 27 Ogos lalu.

Ini selepas salah seorang pegawai perlawanan membenarkan Kelantan membuat lima pertukaran pemain dengan memberikan peluang keempat sedangkan peraturan FIFA hanya membenarkan sesebuah pasukan membuat lima pertukaran dalam tempoh tiga kali peluang sahaja.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengadil FAM Kali Kedua Bagi Penggal 2021-2025 yang dipengerusikan oleh Datuk S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai dan meneliti keseriusan insiden berkenaan dan berbincang secara panjang lebar mengenai prestasi empat pegawai perlawanan yang bertugas pada perlawanan tersebut.

“Keempat-empat pegawai perlawanan tersebut telah digantung tugas selama tiga bulan berkuat kuasa serta-merta.

“Selepas tamat penggantungan itu, kesemua pegawai perlawanan tersebut seterusnya akan hanya dilantik untuk tugasan bagi perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia selama sembilan bulan.

“Mereka juga akan dirujuk kepada Pegawai Pembangunan Pengadil Negeri dan Pengurus Pembangunan Pengadil FAM untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum boleh dinaikkan semula bagi mengadili perlawanan Liga Premier selepas tempoh tersebut.

“FAM berharap agar insiden yang telah berlaku ini akan menjadi pengajaran berguna kepada kesemua pengadil kebangsaan supaya menjalankan tugas dengan penuh fokus dan komited pada setiap perlawanan yang akan datang.”