Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] JDT semakin hampiri kejuaraan Liga Super ke-8, Perak bolos lima gol

JDT hanya perlu mengharungi empat perlawanan sahaja lagi sebelum dinobatkan juara Liga Super musim 2021, apabila menewaskan Melaka United 1-0 malam tadi.

Meskipun gol tunggal itu merupakan gol penalti Bergson Da Silva seawal minit ke-9, ia cukup untuk JDT menjarakkan lagi kedudukannya dengan pencabar terdekat, Terengganu.

JDT kini mengumpul 42 mata selepas 17 perlawanan, dan mencatatkan kemenangan keenam berturut-turut setakat ini.

Di Ipoh, Perak tewas kepada Pulau Pinang 5-3 dalam aksi yang cukup dramatik.

Rafael Vitor menjadi wira Pulau Pinang apabila menjaringkan hatrik pada minit pertama, minit ke-8 dan minit ke-28 manakala Casagrande menjaringkan gol pada minit ke-21 serta Abdul Aziz Rahim pada minit ke-88.

Penyerang import Perak, Nana Poku juga menjaringkan hatrik pada minit ke-16, dan dua jaringan penalti di minit ke-35 dan ke-58 namun tidak cukup untuk mengelak daripada kekalahan keempat dalam lima perlawanan.

Ini juga merupakan kekalahan Perak yang ke-10 dalam saingan Liga Super musim ini.

Selangor pula mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut ke atas UiTM FC 2-0 hasil jaringan Sharul Nazeem Zulpakar pada minit ke-27 serta Ifedayo Olesegun pada minit ke-57.

Ia juga merupakan kemenangan ke-7 Selangor dalam saingan Liga Super musim ini, yang menyaksikan Selangor kekal di tangga ke-5 dengan 26 mata.