Liga Super Malaysia Berita

Perak tidak berancang lantik CEO baharu

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed mendedahkan bahawa kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak tidak akan diisi dalam tempoh terdekat.

Sebaliknya, jawatan itu akan diambil alih Ahli Lembaga Pengarah kelab berkenaan secara bersama.

Ini selepas Perak bersetuju dan menerima secara rasmi surat peletakan jawatan bekas CEO Rizal Ali Naizali pada mesyuarat Lembaga Pengarah, minggu lepas.

“Pihak pengurusan Perak menerima peletakan jawatan Rizal selaku CEO Perak,” katanya kepada Bernama.

“Namun kita tidak menggantikan jawatan itu kepada individu, sebaliknya Ahli Lembaga Pengarah akan mengambil tugasan tersebut secara bersama.

“Kita belum merancang membuka iklan atau mengenal pasti calon menggantikan CEO Perak.”

Bagaimanapun, Khairul Shahril menegaskan kekosongan jawatan itu tidak akan mengganggu fokus pemain.

“Pada saya, kita ada satu pasukan yang kuat jadi saya yakin proses ini bukan bergantung kepada individu walaupun kita rasa agak ‘rugi’ dengan ketiadaan CEO, tetapi saya yakin pengalaman dan persefahaman Ahli Lembaga Pengarah dapat mengisi kekurangan berkenaan.

“Selepas ini, apa-apa juga berkaitan dengan Perak kita akan serahkan kepada Pengurus Perak, Ishsam Shahruddin termasuk untuk berhubung dengan pihak media mengenai perkembangan pasukan,” katanya.