Euro 2020 Berita

Itali juara Euro 2020, Donnarumma musnahkan harapan England

Itali muncul juara Euro 2020 apabila menewaskan England 3-2 dalam penentuan sepakan penalti selepas perlawanan berakhir dengan 1-1 setelah beraksi selama 120 minit.

Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma muncul wira apabila menghalang dua sepakan penalti pemain England.

Bagaimanapun, England menjaringkan gol pendahuluan seawal minit pertama apabila Luke Shaw merembat masuk dari bola dari sudut sukar sehingga berjaya melepasi Donnaruma.

Itali melakukan asakan demi asakan untuk menyamakan kedudukan, namun hanya memperoleh gol pada minit ke-67 menerusi Leonardo Bonucci yang menyumbat bola dengan mudah dari jarak dekat, mengambil kesempatan di atas kerapuhan benteng pertahanan England.

Ketika penentuan sepakan penalti, England pada mulanya mempunyai peluang lebih cerah apabila penjaga golnya, Jordan Pickford berjaya menafikan dua sepakan pemain Itali, Andrea Belotti dan Jorginho.

Namun, tiga pemain England gagal menjaringkan penalti apabila Marcus Rashford yang terkena tiang, manakala sepakan Jadon Sancho dan Bukayo Saka mudah diselamatkan oleh Donnarumma.

Kejayaan tersebut bermakna Itali merangkul gelaran juara Eropah buat kali kedua selepas kali terakhir memenanginya pada 1968 serta menyaksikan Itali melebarkan rekod 34 perlawanan tanpa kalah.

Itali kini mengumpul enam piala dalam kejohanan besar iaitu empat trofi Piala Dunia dan dua trofi Euro.