Berita AFC Champions League

Prestasi JDT di ACL dikritik, TMJ tampil pertahan Mora

Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil mempertahankan Benjamin Mora yang dikritik hebat ekoran prestasi hambar JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

JDT hanya mencatatkan satu kemenangan, satu keputusan seri dan empat kekalahan.

Namun, TMJ merasakan tidak wajar mendesak Mora dipecat tanpa melihat gambaran yang lebih besar.

“Siapa lantik Mora? Saya. Kenapa tiada orang suruh saya out? Saja nak tanya,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya.

“Tahun ini sudah ada satu piala, betul? Setiap tahun dari 2014 ada satu atau dua piala, betul?

“Ini ACL. Kita pernah menang perlawanan ACL, kita seri, kita kalah. Lawan kelab Jepun kita pernah menang, lawan kelab Korea kita pernah menang.

“Sekarang tahap kita belum setinggi untuk ACL. Tetapi untuk bersaing di ACL adalah satu penghormatan. Kita satu-satunya kelab dari negara ini main ACL.

“Bagus untuk ada cita-cita. Tetapi cita-cita dengan khayalan berbeza.

“Pertama, sedar diri tahap kita kelab Malaysia, kedua baru impian. Ketiga jangan putus asa dan teruskan peningkatan.”