Berita AFC Champions League

Mora akui JDT perlu tingkatkan prestasi, corak permainan

Benjamin Mora mengakui JDT perlu meningkatkan prestasi dan corak permainan dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim akan datang.

Ini selepas JDT hanya mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan empat kekalahan pada musim 2021.

“Kami sudah beri persembahan terbaik dalam perlawanan,” katanya kepada Berita Harian.

“Terutama dari aspek pembangunan apabila memberi pendedahan buat pemain muda seperti Ariff Aiman dan Ramadhan Saifullah beraksi menentang kelab terbaik Asia.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh terlalu selesa kerana perlu memperbaiki keadaan kami sendiri dan memperbaiki corak permainan individu yang tampak belum mantap sepenuhnya, malah ia bukan alasan sebaliknya ia sentiasa menjadi proses peningkatan.”

Selepas ini pemain JDT akan menjalani proses pemulihan sebaik pulang ke Johor Bahru dan akan kembali menjalani latihan sebagai persiapan untuk saingan Liga Super yang akan bermula 24 Julai ini.

“Liga Super akan kembali disambung dan persiapan akan diteruskan kerana ada misi yang kami mahu lakukan iaitu memburu kejuaraan liga buat kali kelapan berturut-turut namun sebelum memulakan latihan kami perlu dikuarantin sebaik tiba di Johor,” kata Mora.

“Kami tetap bangga untuk beraksi di pentas ACL musim ini tatkala meraih pengalaman terbaik sepanjang saingan itu, malah langkah AFC melaksanakan gelembung kuarantin diatur begitu sistematik.”