Tan Cheng Hoe mengakui beliau perlu membuat perubahan dari segi pemilihan pemain menjelang kelayakan Piala Asia 2023.
Ini selepas didapati beberapa tonggak utama skuad Harimau Malaya akan mencecah umur lebih 35 tahun pada 2023 nanti.
Farizal Marlias, Norshahrul Idlan Talaha dan Guilherme de Paula akan berusia 37 tahun. Kapten Aidil Zafuan akan berusia 36 manakala Brendan Gan akan menginjak usia 35 tahun dalam tempoh dua tahun akan datang.
Mereka masih boleh beraksi dalam Liga Malaysia, tetapi mungkin bukan lagi di peringkat antarabangsa.
Sudah tentu faktor prestasi yang perlu diambil kira dan bukannya usia. Namun sebagai perbandingan, Sergio Ramos yang sudah berusia 35 tahun dan tidaklah bermain terlalu teruk dengan Real Madrid musim ini pun sudah tidak terpilih mewakili skuad kebangsaan Sepanyol untuk Euro 2020.
Bagaimanapun, Cheng Hoe lebih yakin dengan gabungan pemain muda dan berpengalaman, yang menurutnya akan membantu skuad Harimau Malaya mendapatkan “keseimbangan yang tepat.”
Malah, beliau tidak menolak kemungkinan memanggil pemain yang lebih muda untuk kelayakan pusingan ketiga Piala Asia 2023 pada Januari tahun depan.
“Setiap kali ada kejohanan seperti ini, jurulatih harus membuat perubahan, terutama untuk membawa pemain muda yang dapat memperkuatkan pasukan,” katanya kepada NST.
“Tetapi sama pentingnya mempunyai pemain berpengalaman untuk mengimbangi skuad.”
Dalam tempoh dua tahun lagi, dijangka pemain-pemain muda seperti Arif Aiman dan Luqman Hakim Shamsudin akan beraksi lebih kerap dengan skuad kebangsaan.