Benjamin Mora mengakui tidak terlalu bimbang dengan JDT untuk berdepan dengan Nagoya Grampus dalam saingan kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia 2021 di Stadium Rajamangala esok.
Ini meskipun 14 orang pemainnya sudah hampir tidak berlatih dengan JDT kerana mempunyai tugas dengan skuad kebangsaan.
“Mengenai ketiadaan 14 pemain JDT yang tidak bersama pasukan itu sepanjang persiapan kempen ACL kerana bersama skuad kebangsaan, sebenarnya tidak ada isu,” katanya kepada Harian Metro.
“Sebaliknya mereka sudah berlatih bersama dan beraksi dalam satu pasukan dalam saingan liga domestik.
“Mereka saling memahami antara satu sama lain terutama cara bermain dan tahu tempo permainan masing-masing.
“Jadi tidak timbul masalah apabila mereka tidak berlatih hampir sebulan bersama JDT.”
Namun, Mora mengakui ia satu cabaran berdepan dengan kelab dari Jepun pada perlawanan pembukaan.
“Musim lalu kami tidak dapat meneruskan saingan ACL akibat pandemik Covid-19 dan musim ini adalah peluang terbaik untuk beri persembahan terbaik walaupun kami tahu akan berdepan cabaran getir menentang kelab ternama dari Thailand, Jepun dan Korea Selatan.
“Lawan tampak serba lengkap dengan dibimbing jurulatih berpengalaman dari Itali (Massimo Ficcadenti) dan mereka mengamalkan corak permainan pantas dan ia satu perlawanan yang menarik tatkala JDT juga ada falsafah permainan tersendiri.
“Kami perlu awasi kelicikan pemain nombor 10 (Gabriel Xavier); nombor 11 (Yuki Soma), nombor 16 (Matues) dan nombor 9 (Ryogo Yamasaki) kerana mereka adalah pemain berbahaya dan sering mengamal corak permainan serangan selain beraksi dengan corak tersusun.”
Justeru, Mora berharap barisan pemainnya bersikap lebih berhati-hati dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah.
“Setiap perancangan untuk aksi pertama dirangka dengan teliti dan pemain hanya mengikut apa jua rancangan yang disusun tanpa beraksi dalam tekanan.”