Malaysia Berita

Tambah pemain naturalisasi? Tan Cheng Hoe enggan terburu-buru

Tan Cheng Hoe mengakui ada perancangan untuk mengambil pemain naturalisasi baharu.

Ini selepas dua pemain import, Gonzalo Cabrera dan Endrick Dos Santos layak untuk mewakili negara tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Cheng Hoe dilihat tidak terlalu tergesa-gesa untuk menambah pemain naturalisasi setakat ini.

“Ya, itu sebahagian daripada perancangan kita dan kita tahu kemungkinan kedua-dua pemain itu dapat membantu skuad kebangsaan,” katanya kepada Berita Harian.

“Bagaimanapun, kita perlu duduk dan bincangkan apa keperluan pemain untuk masa depan.

“Buat masa ini, perancangan terdekat kita adalah kita dapat menyusun jadual perlawanan persahabatan pada bulan September supaya kita tidak ketinggalan apabila bersaing ke kelayakan Piala Asia 2023 nanti.”

Ketika ini, tiga pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula sudah mewakili negara.

Dengan Liga Juara-juara Asia dan Liga Malaysia akan bermula, ini peluang untuk Cheng Hoe mencari barisan pemain terbaik yang layak mewakili negara pada kelayakan Piala Asia awal tahun depan.

“Kita sentiasa memberi peluang kepada setiap pemain kerana kita tahu kemampuan dan impian mereka untuk bermain bersama skuad kebangsaan.

“Mereka perlu bekerja keras dan berlatih bersungguh sungguh dan juga dapatkan minit permainan.”