Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe: Saya tak akan gunakan taktik bertahan lawan Vietnam

Tan Cheng Hoe enggan mengunakan taktik bertahan ketika menentang Vietnam, Sabtu ini.

Ini meskipun Vietnam dalam prestasi terbaik apabila menewaskan Indonesia 4-0 baru-baru ini.

“Saya rasa kita perlu kekalkan cara permainan kita dan perlu menambah baik dari segi kekuatan pasukan selain perlu kurangkan kesalahan individu,” katanya kepada Sinar Harian.

“Kita juga tahu bahawa Vietnam ini berbahaya terutama daripada serangan balas mereka.

“Sebab itu, saya tekankan fokus kepada serangan dan dalam masa sama sentiasa berwaspada dengan serangan balas pasukan Vietnam. Malah, kebanyakan perlawanan juga kita tidak bertahan kerana the best defense is a good offense.

“Apa yang penting adalah kita kena bermain sebagai satu pasukan dan saya percaya dengan kesebelasan utama yang akan diturunkan dapat berikan keputusan positif dalam perlawanan itu.”

Cheng Hoe yang turut menyaksikan pertembungan antara Vietnam dan Indonesia itu turut mengakui corak permainan Vietnam tidak banyak berubah sewaktu Malaysia tewas 1-0 kepada mereka di Stadium My Dinh pada Oktober 2019.

“Kita tahu corak permainan Vietnam tidak berubah dari segi pertahanan dan menyerang.

“Mereka ada pemain yang sama walaupun tanpa penjaga gol utama. Kita nampak keseluruhan pasukan Vietnam mempunyai corak permainan seperti biasa yang sering digunakan coach Park Hang-seo.

“Empat perlawanan terakhir juga kita tidak menang menentang mereka, tetapi pemain kita sudah tahu corak permainan pasukan itu.

“Setiap kali kita bertemu dengan Vietnam, kita dapat banyak peluang untuk jaringkan gol, jadi kita perlu ambil peluang itu untuk menjaringkan gol.

“Mereka juga telah kehilangan Nguyen Quang Hai akibat digantung perlawanan dan dia adalah seorang pemain perancang dalam pasukan Vietnam dan banyak sumbang gol.

“Mungkin sedikit khabar gembira buat pasukan kebangsaan tetapi saya rasa coach Park juga ada sebut dia tidak terlalu khuatir kerana dia juga ada perancangan lain di posisi tersebut.

“Mungkin kita boleh ambil kesempatan ketiadaan pemain itu dan menggunakan peluang yang ada terutama jentera serangan untuk lebih berkesan dalam perlawanan itu.”