Liga Super Malaysia Berita

Hafizul Hakim kekal dengan Perak, yakin dengan penstrukturan semula pasukan

Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengakui penstrukturan semula pasukan Perak mengembalikan semula semangat dan keyakinan barisan pemain sedia ada untuk terus bersaing dalam baki perlawanan Liga Super musim ini.

Malah, ia membuatkan penjaga gol berusia 28 tahun itu mahu terus kekal dengan Perak meskipun mendapat tawaran dari pasukan lain.

“Komitmen yang ditunjukkan pihak pengurusan ketika ini berupaya membantu pasukan mengelak terjerumus ke Liga Perdana musim depan,” katanya kepada Astro Arena.

“Perak dijangka mendapatkan khidmat pemain import yang berkualiti dan antara yang aktif beraksi di rantau Asia Tenggara.

“Daripada segi pengalaman, ternyata kami kekurangannya kerana rata-rata pemain yang berhijrah merupakan dalam skuad utama.

“Saya berharap mereka yang dibawa masuk dapat membantu pasukan.”

Ini bermakna, Hafizul membuat keputusan untuk tidak mengikut jejak langkah Shahrul Saad, Guilherme de Paula, Kenny Pallraj, J Partiban, Shakir Hamzah dan Nazirul Naim sebaliknya terus berkhidmat dengan Perak.

Tahun ini merupakan tahun ke-5 Hafizul bersama Perak, sejak menyertai pasukan itu pada Disember 2015.