Berita AFC Cup

AFC cari tuan rumah baharu untuk Terengganu, Kedah

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John mengesahkan pihaknya membuka tawaran kepada mana-mana negara yang bersaing dalam Kumpulan I dan H untuk menjadi tuan rumah Piala AFC.

Ini selepas Singapura menarik diri daripada menjadi tuan rumah disebabkan kesukaran yang dihadapi untuk menganjurkan perlawanan dalam keadaan penularan Covid-19.

Namun, jika masih gagal mendapat tuan rumah sebelum tarikh sepak mula pada 29 Jun ini, kemungkinan besar Piala AFC akan ditunda.

“Kami menerima surat (dari FAS) dan AFC akan membuka tawaran kepada mana-mana pasukan atau negara yang bersedia menjadi tuan rumah dan dapat memenuhi kriteria tanpa perlu melalui kuarantin,” katanya kepada NST.

“Ada kemungkinan pertandingan ditangguhkan tetapi tidak terlalu lama.

“Mungkin akan ditangguhkan selama sebulan kerana kita perlukan sedikit masa untuk mencari tempat baru.”

Kedah bersaing dalam kumpulan H bersama Lion City Sailors dari Singapura, Saigon dari Vietnam dan Persipura dari Indonesia, manakala Terengganu berada dalam kumpulan I bersama FC Kaya dari Filipina dan Geylang International dari Singapura.