Malaysia Berita

Brendan Gan kecewa tidak dapat beraksi lawan UAE, namun berharap Malaysia raih kemenangan

Brendan Gan mengakui kecewa tidak beraksi menentang UAE, Jumaat ini kerana menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan.

Namun, beliau berharap dapat bertindak selaku ‘pakar motivasi’ kepada pasukan.

“Saya kecewa kerana tidak dapat bermain tetapi kita ada pemain yang hebat,” katanya kepada Berita Harian.

“Walaupun tanpa saya, kualiti pasukan tidak akan jatuh. Jadi, saya akan memberi sokongan kepada pemain dari segi komunikasi dan kepemimpinan yang saya ada dalam skuad.

“Saya akan membantu sedaya upaya ketika sesi latihan dan memberikan sokongan yang diperlukan oleh pemain. Selepas aksi UAE, kita akan teruskan persiapan bagi dua lagi aksi dan ketika itu, saya akan memberikan 100 peratus untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.”

Posisi Brendan bakal diisi oleh Liridon Krasniqi yang sudah dua kali beraksi dalam kesebelasan utama pasukan ketika Malaysia bertemu Kuwait dan Bahrain.

Pada masa sama, Brendan berpendapat UAE pastinya berada dalam keadaan tertekan untuk menewaskan Malaysia.

“Pada aksi terakhir, kami mendominasi dan kami agresif mengasak mereka. Tetapi kami tiada tekanan, UAE yang merasa lebih tekanan di mana sebelum ini, mereka memecat beberapa jurulatih dan memanggil kembali jurulatih serta bertindak menggunakan pemain naturalisasi.

“Mereka yang panik ketika ini kerana melihat kualiti kita. Saya percaya pada kemampuan pasukan ini dan kalau kita sentiasa bersatu dan fokus untuk lakukan apa yang sepatutnya kita lakukan, kita boleh tewaskan mana-mana pasukan.”