Datuk Saiful Mat Sapri membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka United berkuat kuasa serta-merta.
Ini selepas Melaka diambil alih oleh syarikat pengeluar sarung tangan, Kenteam Sdn Bhd milik Datuk Seri Justin Lim, awal bulan lalu.
Saiful berkata, keputusan itu dibuat setelah mengadakan pertemuan bersama pihak pengurusan baharu semalam.
“Memang saya meletakkan jawatan untuk memberi tumpuan kepada perniagaan yang selama ini saya abaikan,” katanya kepada Berita Harian.
“Jadi inilah masa terbaik buat saya untuk membuat keputusan selepas melihat Melaka kini sudah kembali stabil dari semua aspek.”
Pertemuan itu turut dihadiri Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Kenteam Sdn Bhd, Datuk Seri Justin Lim dan Naib Presiden MUSA, Datuk Sazali Muhd Din.
“Pertemuan ini cukup penting dalam usaha memperkukuhkan lagi pasukan MUFC yang menjadi nadi kebanggaan kita, seterusnya memperbaiki kedudukan MUFC dalam saingan Liga Super,” kata Sulaiman.
Saiful menjawat jawatan selaku Bendahari Kehormat MUSA sebelum dilantik sebagai CEO Melaka United pada Disember lalu selepas melengkapkan proses penswastaan kelab.