Liga Super Malaysia Berita

Safiq Rahim bakal kembali ke Melaka secara pinjaman

Safiq Rahim dikatakan bakal kembali ke Melaka United secara pinjaman.

Pemain tengah berusia 33 tahun itu baru sahaja menyertai semula JDT lima bulan lalu namun beliau hanya beraksi dalam enam perlawanan, dua kali dalam kesebelasan utama manakala empat lagi sebagai pemain gantian.

Datuk Saiful Mat Sapri yang baru sahaja meletakkan jawatan sebagai CEO Melaka United mengesahkan bahawa pihaknya sedang mengadakan perbincangan dan akan membuat keputusan pada minggu ini.

“Masih dalam rundingan,” katanya kepada Harian Metro.

“Apa yang saya boleh kongsikan pemain itu beraksi di bahagian tengah.

“Selepas segalanya selesai kami akan membuat sidang akhbar mengenai perkara ini termasuklah dua pemain import baharu dari Brazil.”

Selain Safiq, dua lagi pemain JDT iaitu penyerang, Guilherme de Paula dan Ahmad Hazwan Bakri turut berada dalam senarai pemain pinjaman.

Ini setelah Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menyatakan hasrat untuk meminjamkan pemain Harimau Selatan ke beberapa pasukan lagi untuk baki saingan Liga Super musim ini.

Selain Melaka, JDT dijangka meminjamkan pemain ke Pahang, Sabah dan UiTM.