Liga Premier Malaysia Berita

Sarawak United pendahulu Liga Premier, tapi pemainnya berdepan tunggakan gaji

Sarawak United berdepan dengan tunggakan gaji, seperti yang didedahkan oleh pemainnya, Sandro Da Silva, meskipun berada di tangga teratas Liga Premier ketika ini.

Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais berang dengan tindakan Sandro yang mendedahkan perkara tersebut, sambil menafikan bahawa tunggakan gaji itu bukan empat bulan, sebaliknya hanya sebulan setengah.

“Kenapa Sandro perlu beritahu masalah gaji, sedangkan hanya tertunggaknya sebulan setengah,” katanya kepada Astro Arena.

“Itu pun nak keluar di berita dunia, bukannya 2-3 bulan pun. Boleh pastikan dengan pemain-pemain lain, gaji yang tertunggak ialah sejak April lalu dan bulan ini.

“Yang saya kesalkan, apabila kelab lain tahu masalah ini, mereka mula menghasut pemain kami.

“Mereka sepatutnya cermin diri sendiri dulu, adakah OK atau tidak?” soalnya.

Disebabkan itu, Posa enggan melihat Sandro beraksi dengan Sarawak United lagi.

“Terserah kepada jurulatih kerana kalau ikutkan hati, saya memang tidak mahu tengok muka dia lagi.

“Kalau hendak kekal, dia perlu tunjukkan prestasi baik. Kalau betul kelab luar nak ambilnya, saya bagi percuma sahaja cuma bayar gaji sebulannya yang tertunggak.

“Soal yuran perpindahan saya sedekahkan sahaja.”

Sandro mendakwa tidak menerima gaji penuh sejak Januari lalu apabila hanya menerima 70 peratus gaji dua bulan pertama, iaitu pada Januari dan Februari sebelum langsung tidak dibayar apa-apa untuk bulan berikutnya.

Jika berlarutan, Sandro berhasrat untuk membawa kes itu ke pengetahuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk tindakan lanjut.