Malaysia Berita

Gara-gara Korea Utara tarik diri, FAM buat rayuan rasmi kepada FIFA

FAM membuat keputusan untuk menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), ekoran tindakan Korea Utara menarik diri daripada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, rayuan itu dibuat supaya FIFA membuat ketetapan yang adil dan saksama kepada semua pasukan terlibat.

“Ia ekoran penarikan diri pasukan Korea Utara yang membawa pelbagai kemungkinan termasuk pungutan mata ke atas pasukan tempat terakhir setiap kumpulan tidak akan dikira, sekali gus menyukarkan perancangan serta peluang kebanyakan pasukan memandangkan Pusingan 2 itu sudah memasuki penghujung saingan dengan berbaki tiga atau empat perlawanan.

“Dalam surat rayuan tersebut, FAM menegaskan supaya FIFA perlu tampil dengan satu penyelesaian atau ketetapan yang saksama kepada semua pasukan dengan menitik beratkan semangat ‘Fair Play’ dan mengambil kira faktor integriti dalam sukan.”

Tindakan Korea Utara dilihat memberi kesan kepada beberapa pasukan termasuk Malaysia, menyukarkan lagi peluang untuk layak ke pusingan seterusnya.