Liga Super Malaysia Berita

Disebabkan berada di tangga tercorot Liga Super, Pahang ambil empat pemain baharu

Walaupun jendela perpindahan kedua baru sahaja dibuka semalam, Pahang mengambil langkah drastk apabila menandatangani empat pemain import baharu.

Mereka adalah Aung Kaung Mann, penyerang dari Myanmar; Manuel Hidalgo, pemain tengah Argentina berusia 21 tahun, Abubakari Yakubu, pemain veteran Ghana berusia 35 tahun dan Kenny Athiu, penyerang dari Sudan Selatan yang sebelum ini beraksi dengan Melbourne Victory.

“Saya boleh sahkan tiga pemain berkenaan sudah berada di Kuantan manakala seorang lagi sedang menjalani kuarantin yang dijadual berakhir Rabu ini,” kata CEO Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang.

“Kita berharap kemasukan tonggak utama ini mampu meningkatkan prestasi skuad Tok Gajah pada pusingan kedua Liga Super.”

Suffian bagaimanapun enggan mendedahkan pemain mana yang akan diketepikan, namun berjanji akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

“Saya tidak boleh memberikan senarai nama empat pemain terbabit buat masa ini disebabkan ada perkara yang perlu diselesaikan dahulu sebelum pengumuman dibuat.”

Ketika ini, Pahang mempunyai lima pemain import iaitu penyerang dari Ukraine, Yevhen Bokhashvili, Herold Goulon, Lee Tuck, pertahanan Mamadou Wague dan penyerang dari Timor Leste, Pedro Henrique.