Amateur Football League (AFL) secara rasminya mengumumkan baki 6 pasukan yang disenarai pendek untuk menyertai kempen Liga M3 2021, Jun ini.
Ini selepas 14 pasukan telah disenarai pendek pada 31 Mac lalu, menjadikan jumlah pasukan yang akan bersaing dalam Liga M3 musim ini kepada 20 pasukan.
Keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Sekretariat AFL yang telah dipengerusikan oleh Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, yang mengumumkan penyertaan 6 pasukan iaitu Imigresen FC, Kuala Lumpur Rovers FC, MAHSA-Protap FC, Malaysian University FT, Perlis United FC dan Ultimate FC.
Dengan itu, senarai penuh pasukan yang telah disenarai pendek ke Liga M3 2021 selepas proses saringan dokumentasi Fasa Pertama adalah seperti di bawah:-
1. Armed Forces FC
2. BRM FC
3. Cyberlynx FC
4. FC Langkawi
5. Harini KS FC
6. Kijang Rangers FC
7. Kinabalu Jaguars FC
8. KSR Sains FC
9. Kuala Kangsar FC
10. Langkawi City FC
11. Manjung City FC
12. MNY FC
13. PIB FC
14. Real Chukai FC
15. Imigresen FC
16. Kuala Lumpur Rovers FC
17. MAHSA-Protap FC
18. Malaysian University FT
19. Perlis United FC
20. Ultimate FC
Bagaimanapun, AFL menjelaskan bahawa kesemua 20 pasukan ini perlu melengkapkan saringan dokumentasi fasa kedua sebelum penyertaan mereka ke Liga M3 2021 dapat disahkan secara rasmi.
Di sebalik 20 pasukan tersebut, Felda United dan UKM FC tidak turut serta dalam saingan Liga M3 musim ini, tidak seperti yang dijangkakan sebelum ini.
Felda yang tersingkir dari Liga Super musim lalu dan sepatutnya bersaing di Liga Premier tidak dapat berbuat demikian apabila FAM menidakkan penyertaan mereka selepas didapati bahawa kewangan pasukan itu tidak berada dalam keadaan yang kukuh.
Nasib yang sama juga menimpa UKM FC. Walaupun pasukan itu menduduki tangga ke-9 dalam saingan Liga Premier musim lalu, namun atas faktor kewangan, pasukan itu tidak dibenarkan menyertai Liga Malaysia musim ini.
Ini juga bermakna, buat pertama kali dalam sejarah, Felda United tidak bersaing dalam mana-mana peringkat Liga Malaysia baik profesional mahupun semi-profesional sejak ditubuhkan pada 2007, dengan UKM yang ditubuhkan pada 2013 dan mula beraksi di Liga FAM pada 2015 dan layak beraksi di Liga Premier pada 2019.
Pasukan Sarawak juga sepatutnya bersaing di Liga M3. Pasukan dari Malaysia Timur ini merupakan salah satu pasukan bersejarah apabila bersaing dalam bola sepak Malaysia sejak 1974. Kali terakhir pasukan ini beraksi di Liga Premier pada 2019 dan tersingkir ke Liga M3 musim lalu.
Liga M3 musim 2020 hanya sempat diadakan sebanyak dua perlawanan sebelum ia dibatalkan kerana penularan wabak Covid-19.
Pengurusan pasukan Sarawak kemudiannya membuat keputusan untuk membubarkan pasukan ini, setelah mengambil alih Selangor United dan menukar namanya kepada Sarawak United, membolehkan pasukan itu terus bersaing dalam saingan Liga Premier.
Sarawak United bagaimanapun tidak dianggap sebagai pasukan baharu, sebaliknya merupakan penyambung legasi kepada pasukan negeri Sarawak.
Daripada saingan musim lalu, 11 pasukan kembali ke Liga M3 iaitu Armed Forces, Harini, Imigresen, KSR Sains, Kuala Lumpur Rovers, Langkawi City, Manjung City, Perlis United, PIB, Protap dan Ultimate.
Manakala 9 pasukan yang tidak menyertai saingan musim ini ialah IKRAM Muda, Klasiko, Kuala Terengganu Rovers, Melaka City, Melawati, Northern Lions-Mahsa, Sarawak, Semarak dan Thai Selangor.