Liga Super Malaysia Berita

JDT semakin kukuh di puncak Liga Super, Makan Konate wira Terengganu

Johor Darul Ta’zim mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut apabila menewaskan Pahang 2-0 di Stadium Darul Makmur, perlawanan pertama di bulan Ramadan.

JDT mendahului menerusi dominasi kawalan bola yang bermula dari bahagian tengah padang sehinggalah Leandro Velazquez mengambil peluang menjaringkan gol pertama pada minit ke-23.

Pahang bagaimanapun berjaya mengekang asakan demi asakan JDT sepanjang perlawanan dan mengelakkan diri daripada menjadi pasukan belasahan.

Namun, situasi Pahang bertambah rumit apabila Ezanie Mat Salleh dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari pemain JDT, Gonzalo Gabriel Cabrera pada minit ke-69.

JDT pula memasukkan Safawi Rasid, Nazmi Faiz dan Ramadhan Saifullah bagi menguatkan lagi jentera serangan.

 

Ia akhirnya membuahkan hasil apabila Bergson menjaringkan gol ke-9 peribadinya selepas Nazmi membuat hantaran tepat ke arahnya ke dalam kotak penalti pada masa kecederaan, dan keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.

JDT kini mengumpulkan 23 mata manakala Pahang hanya meraih 5 mata dan berada di tangga ke-11 liga.

Di Kuala Terengganu, Terengganu meraih kemenangan kedua berturut-turut apabila menewaskan Kuala Lumpur City 1-0.

Kedua-dua pasukan bergelut untuk menghasilkan gol apabila masing-masing gagal mencipta peluang di hadapan pintu gol.

Namun, Makan Konate muncul wira buat Terengganu apabila menjaringkan gol tercantik Liga Super setakat ini hasil rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti dua minit sebelum perlawanan berakhir.

Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan, menjadikan kedudukan Terengganu di tempat kedua dengan 18 mata manakala KL City kekal dengan 12 mata di tempat ke-5 liga.