Malaysia Berita

Liridon Krasniqi, Luqman Hakim, Junior Eldstal terpilih skuad Harimau Malaya

Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mengesahkan bahawa Liridon Krasniqi, Luqman Hakim Shamsudin dan Junior Eldstal sah terpilih mewakili negara bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun depan.

Ini selepas tiga pemain itu berada dalam senarai 78 individu yang akan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Namun, Tan Cheng Hoe berkata senarai akhir belum dimuktamadkan.

“Kami sudah menyediakan senarai nama yang akan dipanggil tetapi senarai muktamad untuk kem latihan terakhir masih belum ditetapkan,” katanya kepada Astro Arena.

“Kami sebagai barisan kejurulatihan sentiasa memantau pretasi dan kecederaan setiap pemain supaya apabila mereka hadir ke kem kebangsaan, mereka bebas daripada kecederaan dan dapat memberikan prestasi terbaik.

“Lebih kurang 38 nama pemain sudah disenaraikan supaya mereka tidak berasa risau untuk bertandang ke Dubai.

“Segala urusan vaksin ini akan diuruskan oleh FAM dan saya berharap mereka juga akan divaksin agar dalam keadaan bersedia untuk ke Dubai.”

Seramai 78 individu membabitkan pemain, barisan kejurulatihan dan pegawai sekuad kebangsaan akan diberikan suntikan vaksin bermula Isnin ini sebelum berlepas ke UAE.

“Ia sememangnya satu khabar gembira buat skuad kebangsaan, kata Cheng Hoe.

“Kami berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kerana dengan usaha beliau, kami akhirnya akan mendapatkan suntikan vaksin pertama untuk pemain dan pegawai pasukan kebangsaan.”

Kesemua pemain yang terpilih akan menyertai kem latihan pusat bermula 16 Mei ini yang akan diadakan di Dubai.

Malaysia akan berdepan UAE pada 3 Jun sebelum bertemu Vietnam lapan hari kemudian.

Thailand akan menjadi perlawanan terakhir pada 15 Jun.