Syarikat peruncit fesyen terkemuka tanah air, Pusat Pakaian Hari-Hari sah menjadi salah satu penaja bersama Liga Malaysia bagi musim 2021.
Ini merupakan kali kedua syarikat itu melabur dalam bola sepak Malaysia, selepas menaja pasukan Liga Premier, Kelantan United pada musim ini.
Perjanjian penajaan itu ditandatangani oleh Syed Mohamed Sani Syed Kamarullbahrim selaku pengarah syarikat dan CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan kedua-dua pihak akan berunding kontrak lanjutan pada September 2021.
Ini bermakna, syarikat itu akan menjadi rakan penaja bagi Kejohanan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup bagi musim 2021.
Ghani berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kedatangan syarikat swasta untuk menaja Liga Malaysia sekali gus dapat memeriahkan lagi industri bola sepak tempatan khusus daripada aspek komersial.
Malah, beliau optimis penajaan baharu ini akan membuka pintu kepada lebih banyak syarikat lain yang berminat menaja Liga Malaysia di masa akan datang.
“Slogan kata ‘Hari-Hari’ berkongsi satu misi iaitu marilah kita semua sentiasa menyokong produk tempatan dan bola sepak kita pada setiap hari. Sudah tentu MFL menyambut baik di atas kehadiran Pusat Pakaian Hari-Hari yang menjadi salah satu rakan penaja Liga Malaysia dan kami yakin telah membuat keputusan tepat untuk datang komersialkan produk mereka dalam Liga Malaysia.
“Industri bola sepak negara cukup besar dan saya percaya Pusat Pakaian Hari-Hari akan menjadi satu penanda aras terbaik kepada syarikat-syarikat lain untuk tampil menaja Liga Malaysia di mana potensi komersial dalam industri ini cukup besar. Semangat yang ditunjukkan untuk bersama menyokong Liga Malaysia memberi petanda cukup baik ketika industri bola sepak terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Seperti yang kita lihat sambutan penonton bagi perlawanan Liga Super setakat 24 Mac lalu, lebih 18 juta penonton telah menyaksikan 30 perlawanan Liga Super sama ada menerusi siaran langsung di televisyen dan platform media sosial. Kini kita dapat merasai saingan Liga Malaysia semakin meriah dengan kebenaran kemasukan penonton ke stadium oleh kerajaan bermula 1 April 2021 di mana bakal memberikan lebih manfaat kepada penaja-penaja,” katanya.
Dalam pada itu pengarah Pusat Pakaian Hari-Hari, Amilludin Latip menyifatkan penajaan syarikatnya untuk Liga Malaysia 2021 adalah sebagai tanda sokongan syarikat itu dalam menyemarakkan lagi aktiviti sukan khususnya bola sepak tanah air.
“Ini adalah inisiatif Pusat Pakaian Hari-Hari dalam memberikan sumbangan ketika negara dilanda COVID-19 dan diharapkan ianya sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan aktiviti sukan tanah air.”