Kedah bangkit dari ketinggalan apabila menewaskan Selangor 2-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Selangor mendahului menerusi Oliver Buff pada minit ke-33 dan berjaya menghalang Kedah daripada menjaringkan gol sepanjang perlawanan.
Namun, Kedah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-78 menerusi sepakan penalti Kpah Sherman.
Ketika Selangor masih kecewa dengan jaringan penalti itu, Kipre Tchetche menjaringkan gol kemenangan dengan penyudah di hadapan pintu gol pada minit ke-84.
Kedah kekal di tempat kedua dengan 16 mata, manakala Selangor di tangga ke-7 dengan mengumpul 8 mata.
Pulau Pinang kini di tangga ke-3 Liga Super apabila menewaskan Melaka United 2-1 di Stadium Hang Jebat.
Pasukan pelawat itu mendahului menerusi Casagrande pada minit ke-38 sebelum penyerang itu menjaringkan gol kedua pada minit ke-47.
Melaka merapatkan jurang pada minit ke-62 menerusi Stefan Nikolic hasil sepakan percuma S Kumaahran.
Namun Melaka gagal menyamakan kedudukan dan keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan.
Pulau Pinang kini mengumpul 14 mata manakala Melaka di tangga ke-11 dengan 4 mata.
Terengganu gagal mencatatkan kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut apabila hanya seri 1-1 sama menentang Pahang di Stadium Darul Makmur.
Pahang mendahului menerusi Azam Azih yang menjaringkan gol jarak jauh pada minit ke-17.
Terengganu menyamakan kedudukan pada minit ke-74 menerusi Jordan Mintah, selepas bola terkena tangan pertahanan pasukan Pahang, Muslim Ahmad.
Jordan pada mulanya gagal menjaringkan sepakan penalti selepas ditepis keluar oleh Zharif Irfan namun penjaga gol itu didapati telah keluar dari garisan sebelum Jordan menyempurnakan sepakannya, menyebabkan pengadil mengarahkan supaya penalti diambil semula.
Terengganu menduduki tangga ke-4 dengan 12 mata manakala Pahang di tempat ke-9 dengan 5 mata.