Liga Super Malaysia Berita

Pengadil bagi penalti digantung, Beto dirujuk jawatankuasa tertib FAM

FAM akhirnya membuat keputusan untuk menggantung pengadil perlawanan Liga Super antara PJ City dan Melaka United.

Dalam kenyataan rasmi, FAM mendapati pengadil terlibat, Mohd Fairuzi Mat Desa gagal mengesan tindakan pemain PJ City, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri melakukan simulasi atau diving dalam kotak penalti Melaka United FC dan tetap dengan keputusannya untuk memberikan sepakan penalti kepada pasukan PJ City.

Justeru, Fairuzi telah dikenakan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta.

Beliau juga akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM, Nagor Amir Noor Mohamed untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah dan hanya akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan.

Khairil atau Beto juga tidak terlepas dari hukuman apabila akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya yang sengaja melakukan simulasi atau diving dalam kotak penalti Melaka United bagi mendapatkan sepakan penalti.

Pemain import Melaka, Alex dos Santos Goncalves juga dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati sengaja membaling bola ke arah pengadil Fairuzi selepas meraikan gol kedua pada penghujung perlawanan.

Sementara itu, FAM juga telah mendapati pengadil perlawanan Liga Premier antara Kelantan dan Perak FC II iaitu Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin berada pada kedudukan yang salah di dalam kotak penalti sehingga menyebabkan beliau ditolak oleh penyerang Kelantan, Jack Hindle.

FAM beranggapan, biarpun secara keseluruhan prestasinya sepanjang perlawanan tersebut adalah memuaskan berdasarkan laporan daripada Penilai Pengadil, Amirul tetap akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM, Nagor Amir Noor Mohamed.

Beliau akan mengikuti program penambahbaikan bagi memperbaiki keupayaan jangkaan permainan, posisi dan pergerakkan dalam permainan dan hanya akan diberi lantikan semula untuk mengadili perlawanan akan datang selepas selesai program penambahabaikan dan penilaian dibuat terhadapnya.

Penyerang Kelantan, Jack Hindle juga dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana walaupun ada alasan munasabah, tindakannya menolak pengadil dibuat secara agresif.