Liga Super Malaysia Berita

Aidil Sharin: Kedah underdog, JDT ada pemain hebat di setiap posisi

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin mengakui pasukannya hanyalah underdog jika hendak dibandingkan dengan juara bertahan Liga Super, JDT menjelang pertemuan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.

Beliau juga mengakui, JDT memiliki pemain hebat hampir di setiap posisi, menjadikan mereka pilihan utama untuk muncul juara.

“Semua sedia maklum, JDT adalah sebuah pasukan yang mantap dan mempunyai pemain yang hampir sempurna di setiap posisi,” katanya kepada Bernama.

“Itu menjadikan banyak pihak memilih mereka sebagai pilihan utama untuk menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah bagi musim ini.”

Namun, kelebihan JDT bukanlah sesuatu yang digentarkan oleh Aidil, sebaliknya beliau menganggap itu sebagai cabaran biasa dalam bola sepak.

“Semua pemain kita akan melakukan yang terbaik dalam perlawanan nanti dan dari segi persiapan untuk perlawanan itu, ia sama sahaja seperti persiapan perlawanan-perlawanan sebelum ini.”

Tambah Aidil, beliau menganggap Kedah sudah bersedia untuk berdepan dengan JDT selepas menghadapi lima perlawanan persahabatan sepanjang tempoh pra-musim 2021.

“Sepanjang perlawanan persahabatan sebelum ini, kami dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap pemain dengan lebih jelas. Hanya pemain pertahanan Mohd Ariff Farhan Md Isa yang mengalami kecederaan manakala yang lain berada dalam keadaan baik.”

Sebelum ini, Kedah ditewaskan JDT sebanyak dua kali dalam dua perlawanan merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau dikenali juga sebagai Piala Sumbangsih iaitu 1-2 pada 2018 dan 0-1 musim lepas.

Ini merupakan pertemuan kali keempat antara JDT dan Kedah dalam Piala Sumbangsih. Kedah tewaskan JDT pada 2017, manakala JDT sudah memenanginya tiga kali berturut-turut, termasuk ketika menentang Perak pada 2019.