Malaysia Berita

Guilherme De Paula layak beraksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan status Guilherme De Paula sebagai pemain naturalisasi ketiga Malaysia.

Beliau bukan sahaja layak beraksi sebagai pemain tempatan, tetapi juga layak mewakili negara dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Cheng Hoe sudah semestinya akan menilai kemampuan De Paula pada aksi Liga Malaysia yang akan bermula pada hujung minggu ini,” katanya kepada Bernama.

“Saya percaya Cheng Hoe akan memanggil De Paula untuk menyertai latihan skuad kebangsaan pada 22 Mac nanti.”

De Paula, 34, meluahkan rasa syukur dan gembira apabila proses naturalisasinya berjalan lancar, meskipun perlu menunggu lebih lama daripada yang dijangkakan.

Beliau membuat permohonan bersama Liridon Krasniqi pada hujung tahun 2019 namun pemain yang berasal dari Kosovo itu memperoleh status naturalisasi terlebih dahulu pada Januari 2020.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dan memudahkan proses ini selama ini. Saya sangat gembira, begitu juga keluarga saya yang gembira berada di sini.

“Saya dan keluarga sudah menganggap Malaysia umpama rumah kami dan saya sudah lama berada di negara ini sejak 2015. Sudah tentunya ia perasaan yang sukar untuk diluahkan.”

Bagaimanapun, De Paula enggan menganggap status naturalisasinya sebagai satu lesen untuk beliau terpilih mewakili negara secara automatik, sebaliknya beliau tetap perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan negara.

“Saya fikir biarlah jurulatih yang menentukan. Saya tidak mahu memikirkan buat masa ini, biarlah saya beri tumpuan dalam Liga Malaysia dulu.

“Namun jika ada panggilan, saya tetap sedia. Tapi macam saya katakan, fokus saya waktu ini adalah bersama Perak.”