Liga Super Malaysia Berita

Bergson penyerang baharu JDT bagi musim 2021

Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengesahkan bahawa pasukannya telah menandatangani penyerang Brazil, Bergson da Silva dari pasukan Serie A Brazil, Fortaleza.

Walaupun Johor Southern Tigers tidak memberitahu dengan terperinci mengenai perpindahan Bergson, pemain berusia 30 tahun itu difahamkan menandatangani kontrak secara pinjaman.

Perkara ini diumumkan oleh Fortaleza melalui akaun Twitter miliknya.

“Kami mengumumkan bahawa penyerang Bergson dipinjamkan ke Johor DT, pasukan dari Malaysia, selama 4 bulan dengan pilihan pembelian pada akhir perjanjian.

“Fortaleza akan menerima bayaran sebanyak AS$100,000 untuk pinjaman Bergson.”

Perpindahan Bergson diumumkan dua hari sebelum JDT bertemu Kedah dalam Piala Sumbangsih 2021, yang bertindak selaku perlawanan pembukaan Liga Super musim 2021.

Bergson juga merupakan pemain penyerang ketiga yang cuba ditandatangani oleh JDT, selepas gagal mendapatkan Camilo Sanvezzo dan penjualan semula Jonathan Herrera, selepas sebulan menyertai pasukan itu.