Liga Super Malaysia Berita

Guilherme De Paula didaftar pemain tempatan Perak, kini pemain naturalisasi ke-3 Malaysia

Guilherme De Paula hampir pasti boleh mewakili negara tahun ini, apabila telah pun didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam pasukan Perak bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021.

Perkara itu disahkan oleh akaun Facebook rasmi Perak FC, yang menyebut bahawa penyerang berusia 34 tahun itu akan didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Ini bermakna, beliau sudah menjadi pemain naturalisasi Malaysia yang ketiga selepas Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.

Bagaimanapun, perkara itu masih belum disahkan oleh FAM, sama ada De Paula benar-benar layak mewakili skuad kebangsaan yang akan berdepan dengan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan Jun nanti.

Ini akan memberikan kelebihan kepada jurulatih negara, Tan Cheng Hoe untuk menguatkan bahagian serangan pasukannya.

De Paula yang berasal dari Sao Paulo, Brazil pertama kali tiba di Malaysia pada Januari 2015 apabila beliau menyertai Selangor.

Pada Jan 2016, beliau menyertai Ethnikos Achna, sebuah kelab dari Cyprus. Namun pada bulan Jun 2016, beliau kembali ke Malaysia untuk menyertai PDRM.

Beliau menyertai Kuala Lumpur pada Januari 2017 dan menjadi penjaring terbanyak pasukan sebelum menyertai Perak pada Disember 2019 dan kekal dengan pasukan itu sehingga sekarang.