Liga Super Malaysia Berita

MFL dapat tajaan lebih RM33.4 juta, turut libatkan hak penyiaran

Kurang beberapa hari sahaja lagi sebelum saingan Liga Malaysia musim 2021 bermula, MFL akhirnya mendapat tajaan berjumlah RM33,428,000 juta bagi musim ini.

Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jumlah itu berjaya diperoleh dalam tempoh pandemik COVID-19 dan ada beberapa lagi peluang penajaan yang masih dalam perbincangan dan belum ditandatangani.

Bagaimanapun beliau masih belum bersedia untuk mendedahkan nama penaja sebaliknya hanya memberitahu bahawa jumlah tajaan itu melibatkan hak penyiaran, barangan produk dan perkhidmatan.

Ini berbeza dengan tahun lalu, apabila MFL langsung tidak mahu mendedahkan jumlah tajaan untuk musim 2020, sebelum dilanda wabak Covid-19.

“Memang tahun lalu kita tak umumkan jumlah penajaan,” katanya kepada Sinar.

“Tetapi bagi tahun ini jumlah keseluruhan tajaan kita berjumlah RM33,428,000 juta.

“Jumlah ini kita percaya akan bertambah pada masa akan datang kerana ada lagi beberapa penaja yang mahu memberikan tajaan masing-masing.

“Selain itu kita berharap agar kebenaran untuk penonton hadir ke stadium akan membantu mendapatkan tajaan lebih baik kepada MFL dan juga rakan kongsi yang lain.”

Pada November lepas, dua penaja utama Liga Malaysia 2020, CIMB dan AirAsia membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan MFL, sebelum AirAsia kembali menyatakan minat untuk menjadi salah satu penaja bagi saingan musim ini pada Disember.

Musim lepas juga menyaksikan perjalanan Liga Malaysia terjejas dengan jumlah perlawanan liga dipendekkan selain pembatalan beberapa kejohanan antaranya Piala FA dan Piala Malaysia.

Sementara itu, Ab Ghani berkata sepanjang setahun berdepan pandemik COVID-19, MFL menerima pelbagai rintihan khususnya daripada penyokong bola sepak yang tidak dibenarkan ke stadium susulan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP).

“Di sini sebahagian besar mereka mula menyedari betapa bernilai, sentimental dan semangat ukhuwah dalam kelompok penyokong bola sepak terhadap Liga Malaysia.

“Jadi saya sangat yakin dan percaya Liga 2021 bukan sahaja akan mendapat sokongan pelbagai pihak sebaliknya bakal menjadi penanda aras di mana Liga Malaysia juga memiliki kualiti dan potensi besar.”

Saingan musim 2021 akan membuka tirai dengan pertembungan antara juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC dalam merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat ini.