Liga Super Malaysia Berita

MFL nafi lanjutkan tempoh perpindahan untuk JDT

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menafikan pihaknya sengaja melanjutkan tempoh perpindahan pemain sehingga 5 Mac ini.

Beliau berkata, keputusan itu tidak ada kena-mengena dengan pemain JDT, Jonathan Herrera yang dipinjamkan ke kelab Argentina, Independiente.

Sebaliknya, keputusan itu dibuat selepas mendapat pandangan semua rakan kongsi MFL.

“Kita pun tak tahu mengenai Herrera,” katanya kepada Berita Harian.

“Sebenarnya, kita sudah memohon lanjutan sehingga 19 Februari dan kemudiannya kita memohon lagi sehingga 15 Mac. Akhirnya kita dapat lanjutkan sehingga 5 Mac.

“Tempoh lanjutan ini untuk membantu semua rakan kongsi liga kerana ada antaranya yang berdepan masalah dengan pemain import mereka daripada segi dokumentasi, ada yang mahu bertukar pemain import selepas membuat penilaian dan sebagainya.

“Jadi, lanjutan ini akan memberi peluang untuk mereka menyiapkan pasukan yang lebih baik sebelum sepak mula nanti.”

Pada masa sama, Ghani mengesahkan bahawa FIFA sendiri bersetuju untuk memberikan tempoh lanjutan, meskipun permohonan itu dibuat kali kedua.

“FIFA berpuas hati dengan penjelasan MFL untuk memohon lanjutan tarikh jendela perpindahan pemain sehingga 5 Mac yang mana pasukan kini memiliki masa untuk mengintai pemain baharu untuk skuad mereka.”