Luar Negara Berita

Kontrak diperbaharui, Hadi Fayyadh gembira dapat terus beraksi di Jepun

Hadi Fayyadh Abdul Razak meluahkan rasa gembira apabila beliau dapat terus beraksi bersama kelab Jepun, Fagiano Okayama bagi musim 2021.

Ini selepas pemain berusia 20 tahun itu menerima tawaran kontrak lanjutan selama setahun yang diumumkan secara rasmi oleh kelabnya.

“Saya bersyukur dan gembira dengan berita ini,” katanya kepada Harian Metro.

“Terima kasih kepada pengurusan kelab atas kepercayaan yang diberikan dan terima kasih juga kepada pihak Yakult Malaysia yang sentiasa membantu sepanjang dua tahun saya di sini.

“Saya akan terus melakukan yang terbaik untuk meningkatkan potensi diri serta memperbaiki kelemahan yang ada. Insya-Allah, 2021 akan menjadi tahun yang terbaik untuk saya.”

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkata kontrak Hadi dilanjutkan adalah disebabkan komitmen yang ditunjukkannya sepanjang musim ini.

“Pengurusan pasukan memaklumkan kepada saya mereka membuat keputusan untuk menyambung kontrak Hadi bagi tempoh satu tahun lagi selepas melihat peningkatan mutu permainan yang ditunjukkan oleh Hadi sepanjang tahun 2020.”

Hadi menyertai Fagiano pada musim 2019 dan kontrak baharu itu bermakna beliau akan menetap di Jepun selama tiga tahun berturut-turut.