Liga Super Malaysia Berita

UKM FC bakal dapat dana sehingga RM5 juta

UKM FC dilaporkan sudah mendapat dana sebanyak RM3.5 juta untuk bersaing dalam Liga Premier musim depan.

Ini meskipun pasukan universiti itu tidak dibenarkan beraksi dalam saingan liga profesional musim depan, selepas FAM menganggap mereka tidak mempunyai kewangan kukuh.

Harian Metro melaporkan, wakil pasukan UKM FC mendedahkan pemilik baharu sudah bersetuju untuk menjadi pemilik penuh pasukan itu dan segala dokumen berkaitan kedudukan kewangan akan diserahkan kepada FAM dalam masa terdekat.

Wakil UKM itu berkata, beberapa pihak turut menyatakan minat untuk menaja pasukan itu sekali gus menambah jumlah dana sekurang-kurangnya hingga ke RM5 juta.

“Kita yakin dan percaya, jumlah RM3.5 juta itu sudah mencukupi untuk kita bersaing dalam saingan Liga Perdana musim depan.

“Kita tak boleh berbelanja besar seperti pasukan lain, jadi kita akan berhemah dalam berbelanja. Contoh buat permulaan, mungkin kita hanya akan ambil dua pemain import dan bukannya tiga atau empat.

“Semua dokumen kewangan kita akan serahkan kepada FAM dan saya yakin kita boleh selesaikan serta dapat memastikan UKM FC terus bersaing musim depan.”

Setakat ini, UKM FC sudah pun mengemukakan rayuan kepada FAM berhubung status kewangan pasukan.

FAM memberikan tempoh dua minggu kepada UKM FC untuk mengemukakan dokumen berkaitan kedudukan kewangan pasukan.

“Kami nak ucapkan terima kasih kepada FAM kerana menerima rayuan dan memberi tempoh dua minggu untuk selesaikan perkara ini.

“Kami harap rayuan ini diluluskan dan ia dapat beri peluang kepada pemain-pemain UKM FC untuk terus bermain di peringkat tertinggi.”