Luar Negara Berita

Safawi Rasid: Saya harap penyokong bersabar

Safawi Rasid hanya meminta satu perkara sahaja dari peminat, iaitu bersabar.

Ini selepas laman media sosial kelabnya, Portimonense dihujani dengan desakan sesetengah peminat kerana beliau masih lagi tidak dipilih dalam kesebelasan utama meskipun sudah sebulan menyertai pasukan itu.

Namun, beliau tetap optimis akan dapat peluang itu tidak lama lagi.

“Saya harap penyokong bersabar,” katanya kepada Harian Metro.

“Saya tahu mereka tidak sabar untuk melihat saya tampil buat kali pertama tetapi kita jaga adab kita dan nama Malaysia kita. Terima kasih kerana sentiasa memberi sokongan kepada saya.

“Insya-Allah sampai rezeki saya, saya akan membuatkan penyokong gembira.”

Safawi bagaimanapun tidak menyalahkan peminat, walaupun berdepan tekanan yang tinggi untuk terpilih dalam kesebelasan utama.

“Bagi saya, tiada tekanan kerana kita tidak boleh mengawal mereka tapi saya harap mereka dapat menjaga adab kita di media sosial kerana rakyat Malaysia terkenal dengan budi bahasa yang tinggi.

“Alhamdullilah hampir sebulan saya di sini, banyak perkara yang sudah saya pelajari. Apa yang penting saya perlu kuat untuk disenaraikan dan mendapat peluang beraksi.”