Liga Super Malaysia Berita

JDT perkasakan pasukan menerusi sains sukan

Berbeza dengan pasukan lain yang masih sibuk dengan nama, logo serta mencari dana baru, JDT sedang memperkasakan pasukan menerusi sains sukan.

Perkara ini boleh dibuktikan menerusi kursus yang diadakan baru-baru ini untuk pakar fisioterapi di JDT.

Ia dikendalikan oleh dua fisioterapis senior JDT, Antonio Mateos Manzanera dan Antonio Jesus Gavilan, yang kedua-duanya berasal dari Sepanyol.

“Kesemua fisioterapis Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Akademi JDT hingga skuad senior telah menjalani kursus pembaharuan dan pengenalan kaedah fisioterapi moden hari ini,” kata Johor Southern Tigers.

“Sains Sukan adalah antara kunci utama di JDT, di mana DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor memastikan infrastruktur terbaik sentiasa tersedia.”

Fisioterapi merupakan rawatan kecederaan dan penyakit melalui kaedah fizikal seperti bersenam dan urutan berbanding rawatan secara ubat-ubatan dan pembedahan.

Mungkin disebabkan JDT mengambil serius terhadap sains sukan dan fisioterapi, jarang para pemainnya mengalami kecederaan jangka panjang.

Malah, kebanyakan pemain utamanya sentiasa cergas untuk beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.

Musim ini, tiga pemain JDT beraksi penuh dalam saingan Liga Super iaitu Farizal Marlias, Corbin Ong dan Gonzalo Cabrera yang tampil sebanyak 11 penampilan.

Ini diikuti dengan Diogo Luis Santo dan Mauricio yang beraksi dalam 10 perlawanan.