Safawi Rasid mendedahkan buat pertama kali betapa sengitnya perebutan untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan Portimonense SC.
Ini selepas pemain berusia 25 tahun itu tampil beraksi dengan pasukan Bawah-23 Portimonense, selepas dua minggu beliau menyertai kelab Liga Portugal itu, secara pinjaman dari JDT selama satu musim.
Safawi juga menyedari sikap profesionalisme yang tinggi dalam kalangan para pemain di Portimonense ketika pertama kali menjalani sesi latihan dengan pasukannya.
Malah, baginya, sesi latihan kelab itu cukup berbeza berbanding ketika beliau berlatih dengan JDT, termasuklah corak permainan pasukan itu.
”Sebelum latihan, kami boleh bergurau dan gelak bersama namun sebaik melangkah ke padang boleh diibaratkan tidak mengenali antara satu sama lain,” katanya kepada Harian Metro.
”Apa yang boleh saya katakan, tiada istilah budak emas atau istimewa kerana semuanya sama sahaja dengan matlamat untuk dipilih mengisi kesebelasan utama.
”Jika kita lemah atau gagal menunjukkan prestasi diinginkan, jangan mimpi dapat bermain dengan skuad utama.”
Safawi juga mengakui beliau tidak berada pada tahap kecergasan terbaik ketika beraksi menentang pasukan Sporting CP B-23, namun membuka matanya untuk mula memahami corak permainan bola sepak di Eropah.
”Mereka bermain cukup laju dengan fizikal yang agak besar namun itu adalah pengalaman bagus untuk saya memahami corak permainan pemain Eropah.
”Walaupun mengalami sedikit kecederaan, situasi terbabit tidaklah membimbangkan kerana akan pulih dalam tempoh terdekat ini.”