Liga Super Malaysia Berita

Kuala Lumpur terima lebih 10 permohonan jurulatih asing dan tempatan

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa mengakui pihaknya menerima lebih daripada 10 permohonan yang terdiri daripada jurulatih asing dan tempatan bagi mengendalikan pasukan Kuala Lumpur pada musim depan.

Malah, lima daripadanya merupakan permohonan daripada jurulatih asing dari Portugal, Jerman dan Australia.

Bukan itu sahaja, Nokman turut mendedahkan terdapat seorang jurulatih tempatan terkemuka berminat untuk mengendalikan KL musim depan.

”KLFA ada menerima banyak permohonan daripada jurulatih tempatan dan asing malah ada antaranya cukup dikenali dalam arena bola sepak tempatan,” katanya kepada Harian Metro.

”Namun, setakat ini belum ada keputusan lagi untuk memilih jurulatih kerana kita mahu meneliti terlebih dahulu individu yang benar-benar layak untuk mengendalikan Kuala Lumpur.

”Walaupun ketika ini ada beberapa nama bertiup kencang akan mengendalikan Kuala Lumpur, namun saya boleh katakan itu hanyalah khabar angin saja kerana pemilihan belum dilakukan lagi.”

Nokman berkata, keputusan untuk melantik jurulatih baharu mungkin akan hanya dilakukan pada bulan Nov depan.

Di bawah kendalian Nidzam Adzha Yusoff, Kuala Lumpur layak beraksi di Liga Super selepas menamatkan saingan Liga Premier di tempat kedua.

Malangnya, disebabkan Nidzam masih belum mempunyai lesen Pro A, KL terpaksa melantik jurulatih baharu untuk musim depan.

Bagaimanapun, Nokman berkata Nidzam diberikan tanggungjawab untuk memilih barisan pemain untuk saingan Liga Super musim depan.

”Nidzam lebih memahami dan mengetahui pemain sesuai serta layak disenaraikan untuk musim depan kerana kita mahukan pembaharuan iaitu mengelak tersingkir lagi dari Liga Super.”