Piala Malaysia Berita

Kelab penyokong harap MFL benarkan penonton untuk Piala Malaysia

Pengerusi Kelab Penyokong Melaka United (KPMU), Mohd Fairuz Mohd Sirat berharap MFL dapat membenarkan kehadiran penonton ketika saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 6 Nov ini.

Walaupun menyedari peningkatan kes COVID-19 ketika ini, beliau mencadangkan sebilangan kecil penonton sahaja diberikan peluang untuk menonton di stadium, terutamanya kepada penyokong yang memiliki pas bermusim sahaja.

Pada masa sama, bagi Fairuz, apa yang lebih penting adalah penyokong perlu mematuhi segala SOP yang ditetapkan sepanjang perlawanan berlangsung di stadium.

“Sampai bila penonton tidak dibenarkan masuk walaupun dengan jumlah yang terhad?” soalnya kepada Berita Harian.

“Sekarang ini siaran langsung yang di siarkan juga amat membosankan. Pada kami stadium wajib dibuka kepada peminat.

“Pemain memerlukan penyokong. Perlawanan sekarang dilihat semakin layu dan suram tanpa pemain ke-12 terbabit. Pada kami, penaja sudah pasti juga lebih tertarik jika suasana lebih meriah untuk menghidupkan prestij Piala Malaysia.”

Bagi Pengerusi kelab penyokong Demi Melaka United (DMU), Mohamad Odiyas Onan, bilangan penonton sehingga 10 hingga 15 peratus sudah memadai untuk memeriahkan saingan Piala Malaysia nanti.

“Keutamaan wajar diberi kepada pemegang pas bermusim bagi menyaksikan atau jika terlalu terhad ianya boleh digilirkan. Namun keselamatan umum perlu dititik berat sebelum individu dibenarkan kembali ke stadium.”