Liga Super Malaysia Berita

Liga Malaysia: 4 pasukan dalam kawasan PKPB dibenarkan berlatih semula

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan 4 pasukan Liga Malaysia yang berada dalam kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan berlatih semula.

Ini susulan daripada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan pengusaha padang bola sepak, futsal, gimnasium dan fasiliti sukan lain untuk beroperasi semula.

Ghani berkata, MFL telah memberikan surat kebenaran kepada empat pasukan tersebut.

“Bagaimanapun, kesemua pasukan yang berada dalam kawasan PKPB iaitu Selangor, PJ City, UiTM FC dan Kuala Lumpur kena ikut SOP yang telah ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian.

“Mereka hanya boleh berlatih 10 orang dalam satu-satu masa dan tanpa sentuhan selain SOP lain yang perlu dipatuhi seperti pada latihan Fasa 1 sebelum ini.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan latihan diadakan dan ia membolehkan pasukan-pasukan yang berada dalam kawasan PKPB melakukan persiapan mereka.”

Pada masa sama, Ghani berkata sebarang perubahan kepada tarikh Piala Malaysia tertakluk kepada keputusan kerajaan.

“Saya berharap tempoh PKPB tidak disambung selepas 27 Oktober nanti dan semua pasukan bersiap sedia untuk menghadapi saingan Piala Malaysia yang dijadual berlangsung awal bulan depan.

“Jika PKPB disambung, kita akan buat perancangan lain dengan melihatkan kepada keadaan pada masa itu. Tetapi buat masa ini kita harapkan tiada lagi PKPB.”

Selangor dan PJ City mahu membuat persiapan untuk Piala Malaysia, manakala dua lagi pasukan Lembah Klang iaitu UiTM akan menentang Sabah dalam saingan Liga Super, Kuala Lumpur pula akan berdepan Kuching FA dengan kedua-dua perlawanan itu diadakan pada 31 Okt.